NUBE serah rekod 300 aduan babitkan HSBC kepada Jawatankuasa Tetap

NUBE mengemukakan kepada Jawatankuasa Tetap MCBA/NUBE rekod 300 aduan perhubungan industri membabitkan HSBC Bank Malaysia.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) yang memulakan kempen piket nasional sejak pertengahan bulan lalu, telah mengemukakan kepada Jawatankuasa Tetap MCBA/NUBE (M/N SC) 300 aduan perhubungan industri – rekod kes terbanyak – membabitkan HSBC Bank Malaysia.

Dalam hantaran dalam FB hari ini, NUBE berkata, kesemua 300 aduan itu, yang merupakan julung kali berlaku dalam industri perbankan negara ini, diserahkan kepada Persatuan Bank Komersial Malaysia (MCBA) pada Selasa lalu.

“Buat pertama kali dalam sejarah M/N SC, ia telah menerima lebih 300 aduan terhadap SEBUAH bank ahli. NUBE sedih kerana HSBC telah gagal dalam menegakkan maksud sebenar dialog sosial demi manfaat semua pihak berkepentingan bagi mewujudkan perhubungan perusahaan yang harmoni, di atas landasan yang stabil dan kukuh,” kata NUBE dalam hantarannya.

Aduan-aduan terbabit melibatkan isu eksploitasi, pembohongan berulang, gangguan, penganiayaan, pencabulan hak asasi manusia serta percubaan untuk menghancurkan kesatuan.

“Aduan telah dikemukakan kepada Pengarah Eksekutif MCBA, Looi Heong Meng oleh Setiausaha Agung NUBE, J Solomon bagi Jawatankuasa Tetap mengadakan mesyuarat selaras dengan Perkara 4 Perjanjian Kolektif MCBA/NUBE – Penyelesaian Pertikaian, item (4) dan (5),” tambah hantaran itu.

NUBE sebelum ini berkata, aduan-aduan terbabit muncul sepanjang tiga tahun lalu.

Dalam hantaran itu, NUBE berkata, semua persoalan dan pertikaian yang berkaitan dengan pelaksanaan dan tafsiran Perjanjian Kolektif (CA) hendaklah diuruskan oleh Jawatankuasa Tetap.

Di samping itu, katanya,pihak-pihak terlibat boleh merujuk sebarang pertikaian kepada jawatankuasa tersebut dan kegagalan dalam menyelesaikan semua perkara di atas hendaklah dirujuk kepada Kementerian Sumber Manusia.

Dalam perkara lain, menurut NUBE, kategori pekerja-pekerja Bank Perkhidmatan Pelanggan yang dilindungi di bawah Perjanjian Kolektif HSBC Bank/NUBE yang berasingan juga mempunyai Jawatankuasa Tetap untuk fungsi yang sama.

Kata NUBE, NUBE telah menyerahkan aduan kepada Ketua Pegawai Eksekutif ketika itu, Stuart Milne dan Ketua Pegawai Eksekutif HSBC semasa, Omar Siddiq meminta beliau mengadakan Jawatankuasa Tetap HSBC/NUBE selaras dengan peruntukan CA HSBC Bank/NUBE.

“Malangnya, tiada maklum balas walaupun telah diberi peringatan pada 2 Mac lalu,” kata NUBE.

Selain itu, NUBE berkata, pihaknya telah mengemukakan aduan yang terbaharu kepada Ketua Pegawai Eksekutif HSBC pada 4 April lalu, meminta beliau mematuhi CA.

“Kita berharap Ketua Pegawai Eksekutif sekarang akan menyedari bahawa pasukan Sumber Manusia beliau telah mengelirukan beliau dan pengurusan tertingginya, dan kami berharap kearifan beliau akan membawa kepada pematuhan keperluan CA,” kata NUBE lagi.