Pekerja bank Sarawak terima bantuan perayaan di antara 0.5 hingga satu bulan

Pekerja-pekerja bank di Sarawak akan menerima bayaran bantuan perayaan bagi tahun 2024 di antara 0.5 hingga satu bulan, insentif yang julung kali diterima.

KUALA LUMPUR: Pekerja-pekerja bank di Sarawak akan menerima bayaran bantuan perayaan bagi tahun 2024 di antara 0.5 hingga satu bulan, insentif yang julung kali diterima.

Ketua Pegawai Eksekutif Kesatuan Pekerja-pekerja Bank Sarawak (SBEU), Andrew Lo berkata, perkara itu dicapai dalam sesi perundingan Perjanjian Kolektif dengan Persatuan Bank Komesial Sarawak (SCBA) yang sedang berjalan.

“Susulan perbincangan yang dimudah cara oleh Menteri Sumber Manusia, bank-bank telah bersetuju untuk membuat bayaran sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Kesemua pekerja tidak kira agama akan menerima bayaran ini,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Kata beliau, SBEU menghargai kerjasama SCBA, bank dan juga Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Tahun lalu, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mencapai perkara yang sama – satu bulan gaji menerusi Perjanjian Kolektif yang dicapai dengan MCBA.