Pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu 11 Mei, penamaan calon 27 April

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan bahawa Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu akan diadakan pada 11 Mei ini dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.

KUALA LUMPUR: Pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan diadakan pada 11 Mei ini dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh itu pada mesyuarat yang diadakan di Putrajaya hari ini.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

“Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April 2024 sehingga pukul 11.59 malam, 10 Mei 2024,” kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan selepas mesyuarat khas.

Abdul Ghani berkata, pelaksanaan PRK Kuala Kubu Baharu memerlukan peruntukan RM2.5 juta dan membabitkan seramai 40,226 pemilih.

Ia merangkumi 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Urusan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara bagi PRK berkenaan dibuka mulai hari ini.

Tarikh tutup bagi kategori 1A membabitkan petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis dan tentera serta petugas media ialah 26 April ini.

Bagi kategori 1B dan 1C membabitkan warganegara Malaysia yang berada di luar negara serta agensi dan organisasi, masing-masing akan ditutup pada 15 dan 18 April ini.

“Bagi menjalankan proses PRK ini, SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus selain menubuhkan dua pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya bagi memantau aktiviti kempen sepanjang pilihan raya.

“Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan adalah di Dewan Serbaguna dan Komplek Sukan Daerah Hulu Selangor,” kata beliau.

Sebanyak 18 pusat mengundi biasa mengandungi 74 saluran dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi tiga saluran awal akan digunakan.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu sejak 2013, meninggal dunia akibat kanser.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menjadi pilihan raya kecil ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).