UNI-MLC gesa HSBC kembali dialog dengan NUBE susulan keputusan awal UK NCP

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal mengulas mengenai keputusan awal UK MCP mengenai aduan dibuat oleh NUBE dan UNI Global Union.

KUALA LUMPUR: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menyambut baik keputusan awal UK National Contact Point (UK NCP) yang telah memutuskan untuk menerima aduan yang difailkan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) berhubung tindakan tidak adil HSBC Bank Malaysia Berhad terhadap pekerja-pekerja bank.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, pada pandangan UNI-MLC, keputusan awal UK NCP yang mendapati sebahagian aduan yang dibuat oleh NUBE dan UNI Global Union adalah sah, dengan sendirinya menunjukkan bahawa ada sesetengah majikan di Malaysia termasuk HSBC Bank Malaysia Berha tidak menghormati undang-undang buruh dan tidak menghormati hak dan kebajikan para pekerja.

Oleh itu kata beliau, UNI-MLC juga mendapati aduan yang dibuat oleh NUBE dan UNI Global Union dan keputusan UK NCP menunjukkan aduan yang dibuat oleh Kesatuan adalah sesuatu yang serius dan wajar diberi perhatian oleh HSBC Bank Malaysia Berhad dengan menganggap para pekerja dan kesatuan sekerja sebagai rakan kongsi atau aset yang penting dalam pembangunan organisasi dan negara.

“Pihak HSBC Bank Malaysia tidak wajar menggunakan kesempatan pandemik COVID-19 demi kepentingan sendiri syarikat,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam keputusan yang dikeluarkan menerusi dalam talian pada 15 September lalu, UK NCP mendapati sebahagian aduan yang dibuat ke atas HSBC Bank Malaysia, anak syarikat HSBC Holdings Plc, sebuah syarikat pelaburan dan perkhidmatan kewangan multinasional Britain, adalah sah dan pemeriksaan susulan akan diadakan atau dibawa ke proses mediasi.

Oleh itu, kata Mohamed Shafie, UNI MLC berharap HSBC Bank Malaysia Berhad, sementara UK NCP mencari jalan penyelesaian yang harmoni dalam pertikaian perhubungan perusahaan, dengan segara akan mengambil langkah-langkah konstruktif, iaitu kembali ke meja perundingan untuk mengadakan perbincangan dengan NUBE bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu yang dibangkitkan selama ini.

“UNI-MLC juga berpandangan bahawa mahkamah bukan medan penyelesaian yang muktamad kepada segala penyelesaian isu-isu yang timbul.

“Sebaliknya boleh diselesaikan dengan baik menerusi meja perundingan atas semangat “win-win situation” dan memelihara semangat perhubungan perusahaan,” kata beliau sambil menambah, “kami yakin tiada isu yang tidak boleh diselesaikan di meja perundingan.”

Malah Mohamed Shafie menegaskan, UNI-MLC berharap HSBC Bank Malaysia Berhad akan berbesar hati dan akan menggunakan pendekatan terbuka untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit demi kepentingan pekerja, Bank itu sendiri dan negara.

“Sebagai sebuah syarikat multinasional, yang telah menikmati banyak kelebihan polisi kerajaan yang membantu pihak pelabur dan pemodal, kami berharap HSBC Bank Malaysia Berhad akan menghormati kepentingan peranan para pekerja yang majoritinya terdiri daripada rakyat Malaysia,” kata beliau lagi.